Kopitiam Manjung

Friday, August 13, 2010

Ramadhan Bulan Penuh Keberkatan

Assalamualaikum w.b.t,
Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana Dia memberi peluang kepada kita sekali lagi menghirup kerahmatan dan keberkatan Ramadhan tahun ini. Di awal ramadhan tahun ini kita dikejutkan dengan beberapa berita yang menyentap hati kita berkaitan remaja yang mengandung diluar nikah dan hari ini 4 kes pembuangan bayi berlaku setelah salah sebuah negeri mengumumkan penubuhan sekolah bagi remaja yang mengandung ini. Kemana rahmat dan keberkatan Ramadhan ?

Sayugia, kalau dilihat kepada keberkatan ramadhan pada pendapat saya, bukan kerana bulan ramadhan tersebut kerana bulan Ramadhan tetap tiba walau buruk mana pun akhlak manusia. Ramadhan itu mulia kerana padanya diturunkan Al-Quran. Sebagaimana hebatnya umat Arab terdahulu kerana mereka membawa amanah menjunjung ajaran al-Quran. Hebatnya Makah dan Madinah kerana ia menjadi pusat turunnya al-Quran.

Maka akan hebat mana-mana umat yang menjunjung intipati al-Quran. Selama mana sesuatu umat itu berpegang teguh dengan ajaran al-Quran maka selagi itulah mereka akan diangkat oleh Allah dan dipandang mulia. Hari ini umat Islam dipandang rendah, dihina atau terpinggir bukan kerana ekonomi mereka atau material mereka atau ketinggalan dalam penguasaan ilmu! tetapi kerana mereka hina di sisi Allah.

Pelbagai program, berpuluh-puluh teori dari cendikiawan, pemikir untuk mengatasi kebejatan sosial seperti tiada apa-apa kesan kerana al-Quran dipinggirkan. Mana mungkin ada jalan keluar selagi petunjuk al-Quran ditinggalkan. Sedang Allah dengan tegas menyebut dalam ayatnya 
"Dan siapa yang bertakwa kepada Allah, dijadikan  baginya jalan keluar..."
Bahkan kita lihat tindakan setengah pihak seperti mencabar ketetapan Allah! Nauzubillah.

Oleh itu, sempena Ramadhan kali ini, marilah kita sama-sama membina azam, bertekad dan berdoa agar kita dapat menghidupkan kembali al-Quran dalam diri, keluarga dan orang yang di bawah tanggungjawab kita. Dan kita menyeru kepada semua muslimin dan muslimat agar bersatu hati menjunjung perintah Allah dan  menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam segenap kehidupan...

Dan akhir sekali, sempena Ramadhan, bulan maghfirah ini, marilah kita pohon keampunan dari Allah di atas kealpaan kita selama ini. Wallahu A'lam

No comments:

Post a Comment