Persediaan Menyambut Ramadhan
Ramadhan menjelang lagi, Apakah kita benar-benar bersedia dengan kedatangannya? Persoalan ini penting agar kedatangan ramadhan kali ini benar-benar memberi kesan sebagaimana matlamatnya iaitu menjadikan individu itu tergolong dalam kalangan orang-orang yang bertakwa. Allah S.W.T telah menegaskannya menerusi ayat 183 surah al-Baqarah yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman! difardhukan ke atas kamu puasa seperti mana difardhukan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu menjadi orang-orang yang bertakwa."
Persediaan yang dituntut termasuklah dari segi minda, fizikal dan naluri. Rasul s.a.w menegaskan persediaan dari sudut minda adalah bergembira dengan kedatangannya. Kedatangan Ramadhan merupakan berita gembira bagi orang-orang yang beriman kerana ia membawa seribu rahmat, maghfirah dan janji syurga. Sudah pasti orang yang mengetahui kelebihan Ramdhan akan bersukacita dengan kedatangannya.
Kedatangan Ramadhan juga menuntut persediaan fizikal dengan memperbanyakkan amal khususnya berpuasa di bulan Rejab dan Syaaban. Ini melatih fizikal dan mental bagi menghadapi Ramadhan.
Manakala dari sudut naluri pula memerlukan kita bermuhasabah diri dengan melihat sejauhmana hubungan kita dengan Allah sepanjang tahun! Adakah kita benar-benar menepati tuntutan agama atau sebaliknya, seperti mengabaikan solat, tidak komited dengan program agama atau terlibat dengan aktiviti maksiat dan banyak melakukan kemungkaran. Oleh itu sebagai persediaan kita haruslah memperbanyakkan taubat, meningkatkan amalan seperti membaca al-Quran, bersedekah, melakukan amalan-amalan sunat dan menambah ilmu dengan menghadiri majlis - majlis tazkirah dan seumpamanya.
Mudah-mudahan Ramadhan kali ini benar-benar meninggalkan bekas dalam kehidupan kita.. wallahu a'lam
No comments:
Post a Comment