Kopitiam Manjung

Tuesday, August 31, 2010

Muhasabah Sebelum Berakhirnya Ramadhan

Assalamualikum w.b.t
Alhamdulillah.. dua pertiga Ramadhan telah berlalu. Mudah-mudahan kita memperoleh rahmat dan maghfirah dari Allah S.W.T. Bagi orang mukmin fasa ke tiga ramadhan adalah sangat besar ertinya. Rasulullah s.a.w mengajar umatnya supaya mempertingkatkan amalan di akhir ramadhan ini seolah-olah inilah Ramadhan yang terakhir bagi kita.
Cuma dikesempatan ini mari kita renung dan muhasabah sejenak bagaimana amalan atau ibadah yang telah kita lakukan sebelum ini iaitu sepanjang 20 hari Ramadhan yang lalu. Apakah ia benar-benar memenuhi syarat atau tuntutan untuk diterima Allah sebagai amal soleh.Ada beberapa indikator bagi mengukur kesempurnaan amalan.
1. Niat yang ikhlas
2. Benar dari segi amalannya
3. Dilakukan dengan penuh penghayatan
4. Sabar dalam ketaatan kepada Rabbul Jalil.

1. Niat yang ihklas kerana Allah adalah perkara yang paling asas sebagao syarat sah atau diterima sesuatu ibadah. Ahli fekah meletakkan niat sebagai rukun dalam semua ibadah dan amalan. Nabi s.a.w juga menegaskan perkara ini dalam hadisnya yang masyhur.. mafhumnya "Sesungguh setiap amalan hendaklah dengan niat, dan setiap pekerjaan itu mengikut apa yang diniat..."
oleh itu jangan ada sebab atau faktor lain yang menyebabkan kita melakukan sesuatu ibadah.. lebih-lebih lagi untuk memperlihatkan pada orang lain.

2. Benar dari segi Amalan bermaksud dalam melakukan amalan dan ketaatan kepada Allah hendaklah dipastikan beberapa perkara :
    a.  betul dari rukun dan syarat sahnya.
    b.  tiada sebarang unsur bid'ah sperti kisah dua lelaki yang bertanyakan Aisyah perihal ibadah Rasulullah, lalu salah seorang darinya berkata kan berpuasa sepanjang tahun. dan lelaki kedua enggan berkahwin. Lalu ia ditegah oleh Rasulullah s.a.w.
    c.  Tidak bercampur dengan  perkara yang haram atau maksiat, seperti ramai yang menunaikan puasa tetapi dalam masa yang sama mengabaikan solat fardhu! berniaga atau  mencari rezeki yang halal tetapi tidak menutup aurat dan lain-lain.

3. Dilakukan Dengan Penuh Penghayatan.  Setiap amalan ada sunat, makruh sah dan batalnya. Oleh itu hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dengan menjaga adab dan tertibnya. Sebagaimana dalam ibadah solat, perlu dijaga perkara-perkara sebelum solat seperti kebersihannya, kesempurnaan wudhuknya, begitu juga ketika solat amat penting mengetahui rukun dan syarat sah solat. Bagaimana dengan rukun qaulinya, tajwid bacaan-bacaan rukun dalam solat. Begitu juga dengan ibadah puasa, dipelihara dari melakukan perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa sertamempperbanyakkan amalan yang dituntut.

4.  Bersabar dalam melakukan ketaatan. Sudah pasti dalam melakukan ketaatan kepada Allah S.W.T banyak gangguan, godaan dan kekangan yang berlaku di sekeliling kita. Maka kesabaran amat diperlukan bagi menjamin kelangsungan ibadah tersebut. Sebab itu Allah lebih sukakan yang sedikit tetapi berterusan dan sifat istiqamah dalam  perkara kebaikan.

Mudah-mudahan keempat-empat perkara di atas dapat dijadikan indikator / KPI bagi mencapai ketakwaan yang menjadi matlamat tarbiah Ramadhan ini dan sekiranya ada perkara yang menghalang kesempurnaan atau menyebabkan amalan kita ditolak oleh Allah S.W.T maka kita sama-sama perbaikinya semoga Ramadhan kali ini benar-benar bermakna untuk kita.

Wednesday, August 18, 2010

Ingatkan bulu kambing..rupanya bulu BABI! berhati-hati..

Masyallah...!!!!!
Makin menjadi2 org yahudi hendak menghancurkan umat islam.sudah masanya kita mempertahankan maruah umat islam,tak guna hanya berharap pd pihak berkuasa saja.!!!! Mari semua umat islam kita sama2 mempertahankan maruah & kesucian agama islam.

ALLAHHUAKBAR...ALLAHHUAKBAR.....

Lebih teruk lagi kalau hasil bulu haiwan ini dibuat sejadah hamparan masjid, kopiah, permaidani dan produk untuk kegunaan muslim.

Ingatlah, agenda kafir untuk mempersendakan kesucian agama Islam dan mereka takkan berhenti selagi kita tidak menuruti jalan mereka. Umat islam, berhati-hati..

Tuesday, August 17, 2010

Antara Musim Mengawan Dan Musim Menetas

 
Iklim sosial negara kita kian teruk dan parah . Nilai maruah dan harga diri telah turun semurah sekeping kad prepaid .
Jika seketika dulu dunia dikejutkan oleh tindakan Natalie Dylan dari San Diego USA [ 22 tahun ] melelong daranya dan dibida oleh seorang lelaki Britain dengan harga 2.5 juta pound [ RM 13 juta ] , kemudian Miss Spring [ 17 tahun ] melelong daranya turun pada bidaan serendah RM 1 juta dan Alina Persia [ 18 tahun ] pula menerima bidaan 10 Ribu euro apabila beliau turut melelong daranya .
Tetapi anak - anak gadis Malaysia ada yang melelong daranya dengan mee goreng sepinggan dan kad prepaid sekeping . Demikianlah harga maruah yang semakin susut malah hancur dan binasa .
Apabila maruah dan harga diri boleh dilelong dan digadai semurah itu , apalagi nilai yang ada pada manusia seperti itu untuk dipertahankan . Mereka akhirnya menjadi hamba nafsu yang tidak lagi mengenal syurga dan neraka atau dosa dan pahala . Hidup mereka hanya diabadikan kepada perut dan apa yang berada dibawah perut . Rosak nilai , hancur maruah dan binasa tamadun .
Akhir - akhir ini , negara kita semakin menggerunkan . Sungguh menakutkan apabila statistik jenayah rogol , zina dan buang bayi ini semakin berleluasa seperti tidak menunjukkan tempoh tamatnya. Bermula dengan pergaulan bebas , pil ectasy , dadah , arak , pusat pelacuran , filem porno , laman lucah dan sebagainya sehinggalah sekatan ke atas majlis agama , sekolah agama rakyat [ SAR ] , mengurangkan sukatan pengajian Islam di pusat pengajian tinggi , mengambil tindakan ke atas khatib yang tidak bertauliah telah menyuburkan mungkar dan maksiat yang sedang berleluasa ini .

Saya memerhatikan sejak kebelakangan ini untuk tempoh beberapa tahun seperti menunjukkan satu trend bahawa bulan Julai , August dan Sept adalah bulan yang cukup banyak kes buang bayi dilaporkan dan ditemui . Jika bulan julai , august dan september ini bulan menetas ertinya bulan december sebelumnya adalah musim mengawan . Dalam bahasa mudah , jika bulan julai , august dan september ini adalah bulan buang bayi ertinya bulan december sebelumnya adalah bulan berzina . [ sebab tidak mungkin berzina bulan ini , bulan depan buang bayi ]
Bulan December adalah bulan terakhir bagi setiap tahun menurut kalendar masihi . Biasanya di negara kita akan menyambut kedatangan tahun baru detik 12.00 am 1 january dan sambutan itu akan rayakan dengan pesta - pestaan , konsert hiburan , tari menari sedari awal malam sehingga ke awal pagi esoknya . Tentunya pula pesta - pesta itu akan diserikan lagi dengan arak , pil ectasy , pil kuda dan pelbagai bahan khayal untuk membekalkan tenaga kepada melakukan maksiat semaksima mungkin .
Pengalaman saya meronda bersama dengan skuad Dewan Pemuda PAS Pusat dan negeri - negeri jelas menunjukkan bahawa malam sambutan tahun baru inilah menjadi musim mengawan beramai - ramai atau besar - besaran pasangan - pasangan yang tidak mengenal lagi batas dosa dan pahala . Sebahagian besar mereka adalah remaja atau anak - anak yang mengawan semahunya memuaskan nafsu liar mereka . Akhirnya 7 atau 8 atau 9 bulan kemudian tibalah masa menetas .. Kini kita boleh saksikan bagaimana pesta menetas pula di dada - dada akhbar yang saya yakin akan berkurang sedikit selepas september nanti .
 SANDAKAN [ 3 Julai 2010 ] Mayat seorang bayi perempuan ditemui di tapak pelupusan sampah di Batu 8 Jalan Fook Kim . Sandakan Sabah .
 JOHOR BHARU [ 12 Julai 2010 ] Mayat bayi lelaki yang disimpan di dalam sebuah beg plastik di kawasan semak ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan itu . Johor Bharu .
 JOHOR BHARU [ 22 Julai 2010 ] seorang bayi perempuan ditinggalkan dalam sebuah beg berhampiran hentian bas dekat Hospital Sultan Ismail sebelum ditemui seorang pekerja kilang wanita yang sedang menunggu bas di tepi jalan pesiaran Mutiara Emas yang mengesyaki sesuatu apabila melihat sebuah beg bergerak - gerak .
KUALA LUMPUR [ 24 Julai 2010] Mayat bayi perempuan baru lahir yang dibungkus dalam beg plastik ditemui bersama longgokan sampah di Flat Sri KelantanBandar Baru Sentul. Mayat yang masih bertali pusat dan diselimuti dengan kain batik itu ditemui dalam tong sampah oleh pengutip barangan lusuh ketika menggeledah tong sampah di flat itu .
NIBONG TEBAL [ 31 Julai 2010 ] Seorang bayi perempuan yang masih hidup ditinggalkan berbalut dengan plastik dan kertas surat khabar di kaki lima sebuah bangunan kedai di taman Cegar Simpang Ampat .
KUALA LUMPUR [ 6 August 2010 ] seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditinggalkan dalam sebuah lubang paip dalam longkang berhampiran sebuah stesen minyak di Klang Gate.
GEORGE TOWN [ 9 August 2010 ] Janin bayi lelaki dipercayai digugurkan ditemui seorang lelaki pemungut tin kosong dalam tong sampah di Pasar Borong Pulau Mutiara Jalan Makloom.
TAMPIN [ 10August 2010 ] Tidak sampai 4 jam selepas dilahirkan , seorang bayi perempuan terpaksa menahan sejuk lapar sambil menangis akibat ditinggalkan dihadapan sebuah rumah di Air Kuning Selatan dekat Gemencheh .
TANAH MERAH [ 12 August 2010 ] Bayi perempuan masih bertali pusat dipercayai dibuang sejak seminggu lalu ditemui seorang murid di dalam lubang kumbahan najis di belakang asrama sebuah kolej di bandar Bukit Bunga .
MELAKA [ 12 August 2010 ] Bayi baru dilahirkan dan masih hidup ditemui dalam tong sampah berdekatan pondok kawalan sebuah kilang plastik di Ayer keroh . Bayi perempuan yang masih bertali pusat itu dimasukkan dalam sebuah beg pakaian berwarna hitam sebelum dibuang ke dalam tong sampah.
KELANTAN , MELAKA DAN KUALA LUMPUR [13 August 2010 ] 3 kes lagi pembuangan bayi telah dilaporkan dalam tempoh 24 jam di kelantan , Melaka dan Kuala Lumpur .
PETALING JAYA [ 15 August 2010 ]- Meskipun kerajaan telah mengumumkan akan bertindak tegas terhadap pesalah kes buang bayi, ia masih gagal memberi kesedaran malah perbuatan itu berlaku lagi. Kali ini, mayat seorang bayi perempuan ditemui dalam sebuah beg sandang yang tersangkut di tebing Sungai Tambun, Kota Damansara di sini hari ini.
 
 dipetik dari - http://episodeperjuangan.blogspot.com/

Friday, August 13, 2010

Ramadhan Bulan Penuh Keberkatan

Assalamualaikum w.b.t,
Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana Dia memberi peluang kepada kita sekali lagi menghirup kerahmatan dan keberkatan Ramadhan tahun ini. Di awal ramadhan tahun ini kita dikejutkan dengan beberapa berita yang menyentap hati kita berkaitan remaja yang mengandung diluar nikah dan hari ini 4 kes pembuangan bayi berlaku setelah salah sebuah negeri mengumumkan penubuhan sekolah bagi remaja yang mengandung ini. Kemana rahmat dan keberkatan Ramadhan ?

Sayugia, kalau dilihat kepada keberkatan ramadhan pada pendapat saya, bukan kerana bulan ramadhan tersebut kerana bulan Ramadhan tetap tiba walau buruk mana pun akhlak manusia. Ramadhan itu mulia kerana padanya diturunkan Al-Quran. Sebagaimana hebatnya umat Arab terdahulu kerana mereka membawa amanah menjunjung ajaran al-Quran. Hebatnya Makah dan Madinah kerana ia menjadi pusat turunnya al-Quran.

Maka akan hebat mana-mana umat yang menjunjung intipati al-Quran. Selama mana sesuatu umat itu berpegang teguh dengan ajaran al-Quran maka selagi itulah mereka akan diangkat oleh Allah dan dipandang mulia. Hari ini umat Islam dipandang rendah, dihina atau terpinggir bukan kerana ekonomi mereka atau material mereka atau ketinggalan dalam penguasaan ilmu! tetapi kerana mereka hina di sisi Allah.

Pelbagai program, berpuluh-puluh teori dari cendikiawan, pemikir untuk mengatasi kebejatan sosial seperti tiada apa-apa kesan kerana al-Quran dipinggirkan. Mana mungkin ada jalan keluar selagi petunjuk al-Quran ditinggalkan. Sedang Allah dengan tegas menyebut dalam ayatnya 
"Dan siapa yang bertakwa kepada Allah, dijadikan  baginya jalan keluar..."
Bahkan kita lihat tindakan setengah pihak seperti mencabar ketetapan Allah! Nauzubillah.

Oleh itu, sempena Ramadhan kali ini, marilah kita sama-sama membina azam, bertekad dan berdoa agar kita dapat menghidupkan kembali al-Quran dalam diri, keluarga dan orang yang di bawah tanggungjawab kita. Dan kita menyeru kepada semua muslimin dan muslimat agar bersatu hati menjunjung perintah Allah dan  menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam segenap kehidupan...

Dan akhir sekali, sempena Ramadhan, bulan maghfirah ini, marilah kita pohon keampunan dari Allah di atas kealpaan kita selama ini. Wallahu A'lam

Wednesday, August 11, 2010

Ramadhan Menjana Muslimin Bertakwa

Kemuncak kepada keberkesanan kefardhuan puasa Ramadhan ialah menjadikan Muslim yang berpuasa itu tergolong dalam kalangan orang yang bertakwa, seperti yang ditegaskan dalam ayat 183 surah  al-Baqarah yag bermaksud "... agar kamu menjadi orang yang bertakwa"
Takwa mempunyai pelbagai pengertian, sebagai rumusannya takwa adalah kemuncak takut kepada Allah SWT iaitu mentaati Allah SWT dengan mengerjakan segala perintahNya serta apa yang dibawa oleh Rasul s.a.w dan meninggalkan segala larangannya.

Bagaimana kita mampu meraih kedudukan takwa ?
1. Takut kepada Allah SWT

Perasaan takut ini boleh dijelmakan melalui soalan-solan seperti Takut sekiranya dimatikan dalam keadaan tidak beriman kepada Allah SWT, takut apakah kita boleh menjawab soalan dalam kubur, Apakah ia boleh mendapat syafaat Rasulullah sedang dalam kehidupan seharian jauh dari sunnah baginda.

2. Beramal dengan seluruh kandungan  al-Quran
Al-Quran mengandungi semua perkara yang bersangkutan kehidupan manusia, petunjuk ke jalan kebenaran dan sebagai panduan yang lengkap.

3. Redha dengan apa yang ada pada diri.
Ramadhan banyak mengajar kita dengan sifat redha. Ia membuang sifat tamak, suka berlebihan dan pembaziran sebaliknya mengajur amalan sedekah dan besederhana dengan kekurangan.

Friday, August 6, 2010

Ahlan Ya Ramadhan

Persediaan Menyambut Ramadhan

Ramadhan menjelang lagi,  Apakah kita benar-benar bersedia dengan kedatangannya? Persoalan ini penting agar kedatangan ramadhan kali ini benar-benar memberi kesan sebagaimana matlamatnya iaitu menjadikan individu itu tergolong dalam kalangan orang-orang yang bertakwa. Allah S.W.T telah menegaskannya menerusi ayat 183 surah al-Baqarah yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman! difardhukan ke atas kamu puasa seperti mana difardhukan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu menjadi orang-orang yang bertakwa."

Persediaan yang dituntut termasuklah dari segi minda, fizikal dan naluri. Rasul s.a.w menegaskan persediaan dari sudut minda adalah bergembira dengan kedatangannya. Kedatangan Ramadhan merupakan berita gembira bagi orang-orang yang beriman kerana ia membawa seribu rahmat, maghfirah dan janji syurga. Sudah pasti orang yang mengetahui kelebihan Ramdhan akan bersukacita dengan kedatangannya.

Kedatangan Ramadhan juga menuntut persediaan fizikal dengan memperbanyakkan amal khususnya berpuasa di bulan Rejab dan Syaaban. Ini melatih fizikal dan mental bagi menghadapi Ramadhan.

Manakala dari sudut naluri pula memerlukan kita bermuhasabah diri dengan melihat sejauhmana hubungan kita dengan Allah sepanjang tahun! Adakah kita benar-benar menepati tuntutan agama atau sebaliknya, seperti mengabaikan solat, tidak komited dengan program agama atau terlibat dengan aktiviti maksiat dan banyak melakukan kemungkaran. Oleh itu sebagai persediaan kita haruslah memperbanyakkan taubat, meningkatkan amalan seperti membaca al-Quran, bersedekah, melakukan amalan-amalan sunat dan menambah ilmu dengan menghadiri majlis - majlis  tazkirah dan seumpamanya.

Mudah-mudahan Ramadhan kali ini benar-benar meninggalkan bekas dalam kehidupan kita.. wallahu a'lam