Puasa Ramadhan di Fardhuklan pada Tahun kedua Hijrah. Pada tahun tersebut juga berlakunya peperangan pertama dalam sejarah perkembangan Islam iaitu peperangan Badar al-Kubra. Ini jelas menunjukkan suatu siri tarbiah dari Allah kepada Umat Islam dalam membina keimanan, ketakwaan dan sifat pengorbanan dalam diri mereka.. Dengan jumlah tentera yang sedikit dengan kelengkapan perang yang amat sederhana umat Islam telah mengecapi kemenangan yang begitu cemerlang.. Sudah pasti ia adalah pertolongan Allah kerana umat Islam ketika itu memenuhi ciri-ciri yang melayakkan mereka memprolehi pertolongan Allah.
Ketika dalam perjalan pulang dari medan perang Rasulullah s.a.w mengingatkan para sahabat bahawa mereka pulang dari jihad kecil kepada jihad yang lebih besar. Apabila ditanya sahabat nabi s.a.w menjawab jihad melawan Hawa Nafsu.
Balik kepada Puasa, Sesungguhnya Puasa adalah satu makanisme bagi melawan hawa nafsu. Kejayaan melawan hawa nafsu menjadikan umat Islam kuat dan digeruni musuh. Inilah yang dibuktikan dalam peperangan Badar dan siri-siri peperangan lain yang dimenangi oleh umat Islam. Apabila umat Islam mula tunduk kepada hawa nafsu dan cintakan dunia maka akan hilanglah kekuatan dan kemuliaan mereka dan digantikan dengan kehinaan dan ketakutan. Sebagai contoh dalam peperangan Uhud, dua tahun selepas kejayaan dalam peperangan Badar, umat Islam dengan strategi yang begitu ampuh dan persediaan yang lebih baik hampir mengalami kekalahan akibat rasa sayangkan harta dan mengikut hawa nafsu mengakibatkan pasukan pemanah yang ditugaskan oleh Rasulullah s.a.w mengawasi medan perang meninggalkan amanah tersebut.
Hari ini, keadaan umat Islam begitu membimbangkan, umat Islam bukan sahaja ketinggalan dari segi kekuatan fizikal seperti ekonomi, penguasaan ilmu pendidikan dan kuasa politik malah umat Islam berada dalam kehinaan di bumi mereka sendiri, rosak dari segi sahsiah dan maruah diri, dibelengu dengan keruntuhan akhlak yang amat dahsyat. Semua ini adalah disebabkan umat Islam menjadikan hawa nafsu dan syaitan sebagai ikutan, menjadikan harta dunia sebagai matlamat hidup dan membelakangkan segala batas agama dan tuntutan syariat.
Puasa mendidik dan melatih kita menundukkan nafsu dan syahwat dan meletakkan perintah Allah sebagai keutamaan. Umat Islam dapat meninggalkan makan dan minum pada siang hari, menjauhi perkara yang boleh membatal dan mengurangkan pahala puasa serta meninggalkan keseronokan rehat pada malamnya untuk bangun menunaikan solat, bertadarus dan qiamullail pada malamnya. Mengikis sifat sayangkan harta kepada banyak bersedekah, menghapuskan sifat sombong dan takbur kepada sifat penyayang dan belas kiasihan kepada anak yatim dan orang miskin. Semua ini dilakukan untuk mencari keredhaan dan pengampunan Allah S.W.T.
Maka dengan sifat-sifat mahmudah dan bekalan ketakwaan kepada Allah sudah pasti umat Islam mapu bangun semula mencapai kemengan yang dijanjikan.. Insya Allah. Marilah kita teruskan bermujahadah pada akhir Ramadhan tahun ini.. anggaplah inilah Ramadhan terakhir bagi kita. Wallahu A'lam
No comments:
Post a Comment