Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam sejahtera.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dari Nya juga, Beta dan Raja Puan Besar dapat berangkat ke Majlis Sambutan Hari Guru Tahun 2010, peringkat Negeri Perak Darul Ridzua. Beta dan Raja Puan Besar adalah produk yang telah dihasilkan melalui asuhan kedua ayahanda-bonda, dilengkapi pula dengan didikan para guru yang telah membimbing Beta berdua dengan penuh dedikasi, komitmen, keikhlasan dan kejujuran. Beta berdua amat terhutang budi dan amat berterima kasih kepada guru-guru yang begitu besar dan banyak jasanya.
2. Hasrat mengadakan sambutan Hari Guru di peringkat kebangsaaan mula disuarakan dalam tahun 1994 oleh Matlye Whyte Woodridger, seorang guru di Arkansas, Amerika Syarikat. Puan Woodridge telah merintis usaha menghubungi pemimpin-pemimpin politik dan tokoh-tokoh pendidikan memohon supaya diabadikan satu hari setiap tahun sebagai tanda pengiktirafan terhadap profesion guru.
3. Suara tersebut adalah antara suara yang digemakan supaya pengabadian penghormatan terhadap guru itu dilaksanakan secara lebih struktural dan lebih formal. Sebenarnya, rasa hormat terhadap guru itu adalah satu lumrah semula jadi yang telah sedia tersemai di hati insan yang
mempunyai akal budi serta budaya berterima kasih. Guru itu pada asalnya, tumbuh dan membesar dalam alam agama lantas memenuhi tanggung jawab yang difitrahkan untuk memenuhi seruan tuhan.
4. Tanggung jawab mengajar, bermula sejak terciptanya manusia. Di peringkat awal tamadun manusia, tugas guru itu dilaksanakan oleh tokoh-tokoh agama, dari kalangan paderi, sami, pendeta, ulama dan imam. Rumah-rumah ibadat pula berperanan sebagai pusat perkembangan ilmu. Tokoh-tokoh agama itu dilihat sebagai insan suci berhati murni, dihormati dengan penuh kemuliaaan - dianggap mempunyai talian hubungan luhur dengan tuhan -dipercayai mempunyai keistimewaan luar biasa juga memiliki kuasa-kuasa kesaktian. Oleh yang demikian guru telah diletakkan di altar yang tinggi. Guru memenuhi peranan mengajar dan mendidik, menyampaikan pengetahuan dan mengembangkan ilmu; guru adalah pengajar dan pengasuh, baik dari perkataan begitu juga dari perlakuan yang dijadikan ikutan, panduan dan pegangan. Kata-kata seorang guru itu, terutama dalam bentuk mantera, serapah dan jampi, digambar bagaikan air jernih yang mengalir dari gunung-ganang yang tinggi, melimpahkan rahmat, membawa kesuburan ke setiap pelosok lembah ia mengalir.
5. Bermula dari tahun 3500 sebelum Masihi, pelbagai bentuk tulisan mula dicipta, diperkenal dan dimajukan oleh pelbagai tamadun. Penciptaan huruf dan tulisan telah mengupayakan ilmu dapat disampaikan dengan lebih meluas lalu mempengaruhi corak penyebaran ilmu, beralih dari bentuk lisan dan hafalan kepada bentuk penulisan dan bacaan. Pendidikan yang pada asalnya bersifat eksklusif, merupakan satu kemewahan dan satu keistimewaan yang dikuasai dan dimanfaatkan oleh kumpulan elit agama dan elit pemerintahan lalu dapat disampaikan kepada kumpulan sasar yang lebih besar lagi luas.
6. Masyarakat yang terus berkembang telah membina tamadun kehidupan. Pelbagai sistem dan strata telah diperkenalkan dari segi peranan dan tanggung jawab guru, merangkumi kaedah dan kandungan pengajaran yang lebih telus lagi teratur. Akhirnya guru itu menjadi satu profesion yang memiliki struktur yang tersusun serta organisasi yang luas.
7. Kaedah pengajaran dan profesion keguruan kini memiliki identiti profesionalisme dengan wajah dan rupa bentuk yang dikenali oleh dunia hari
ini. Nyatalah, sebagai satu profesion, keguruan menjadi satu profesion yang telah melalui transformasi, memungkinkan berlakunya proses pendemokrasian ilmu, berubah dari aktiviti elitis di kalangan kumpulan yang kecil, menjadi aktiviti massa milik rakyat. Di banyak negara, profesion guru merupakan antara profesion yang paling besar dan paling ramai anggotanya.
8. Menghormati guru bukanlah budaya baru. Ia adalah budaya sejagat, diamalkan dalam setiap kebudayaan. Peradaban-peradaban awal baik di Mesopotamia, di China dan di India begitu juga ajaran Islam meletakkan guru pada tahap kemuliaan yang tinggi. Guru dirujuk sebagai ‘unmia’ dalam peradaban Mesopotamia, membawa maksud ‘bapa sekolah’. Autoriti mutlak guru tidak pernah dipertikaikan; guru diberi hak mendisiplinkan murid secara ketat, termasuk mempunyai kuasa memukul murid dengan kayu apabila melakukan kesalahan.
9. Confucius dipilih sebagai tokoh guru terbaik dari kalangan yang terbaik oleh masyarakat Cina. Conficius telah menjaguhi falsafah pendidikan untuk semua tanpa diskriminasi dan berpegang kepada prinsip bahawa setiap pelajar wajib diajar berdasarkan tahap keupayaaan masing-masing. Seawal tahun 1939, Kementerian Pelajaran China telah mengisytiharkan tarikh kelahiran Conficius, 28 Ogos sebagai tarikh sambutan Hari Guru, diubah dalam tahun 1952 kepada 28 September berdasarkan penemuan kronologi akan kesahihan berhubung tarikh lahir beliau. Peradaban Cina amat memuliakan guru. Hari ini negara China mengisytiharkan Hari Guru sebagai salah satu dari tiga hari yang diberikan cuti umum selain dari Hari Jururawat dan Hari Wartawan.
10. Peradaban India mensifatkan Guru sebagai cahaya yang memberikan panduan, membantu mencipta persekitaran yang membawa kepada pembangunan dan kemajuan. Peribahasa lama India yang diajar kepada anak-anak berbunyi ‘Maa, Pitha, Guru, Daivam’ bermaksud ‘Ibu, Ayah, Guru, Tuhan’ membuktikan taraf pengiktirafan masyarakat Hindu terhadap guru. Bermula dari tahun 1952, tarikh 5 September, ditetapkan sebagai Hari Guru di India, mengambil sempena tarikh kelahiran Dr. Sarvepalli Radhakrishnan, seorang tokoh pendidikan yang berpengaruh dalam bidang falsafah dan perbandingan agama, kemudiannya diangkat ke taraf negarawan apabila dilantik menjadi Presiden India yang kedua. Dr. Radhakrishnan teguh dengan pegangan bahawa dalam sesebuah negara, para guru memiliki minda terbaik.
11. Islam adalah agama berpaksikan ilmu, berteraskan kitab suci AL- QURAN. Istilah dakwah menuntut kepada ummah melakukan kegiatan-kegiatan penyeruan kepada risalah yang dibawa oleh Islam. ALLAH Subhanahu Wataala meletakkan kewajipan ke atas ummah Nya agar beramal dan mengembangkan ilmu yang memerlukan peranan guru. Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam menggalakkan umat Baginda untuk bukan sahaja menguasai tetapi turut berkongsi ilmu dan menyampaikan pengetahuan. Guru dimuliakan dengan gelaran ulama dan imam. Pengiktirafan masyarakat Melayu terhadap guru agama dimanifestasikan melalui gelaran Tuan Guru. Antara tokoh-tokoh utama ulama Islam yang pengajaran mereka menjadi panduan pegangan adalah Imam Shafie, Imam Hanapi, Imam Maliki dan Imam Hambali, masing-masing telah meninggalkan khazanah ilmu yang amat berharga serta legasi pengajaran yang sukar ditandingi.
12. Islam melihat guru sebagai profesion yang sangat mulia. Para guru dianggap bukan sahaja dapat membantu ummah di dunia tetapi akan dapat membantu murid yang taat di hari perhitungan nanti. Malah ilmu bermanfaat yang diajar merupakan salah satu dari amalan yang dapat dijadikan bekalan apabila berakhirnya hayat seseorang anak Adam itu. Oleh itu budaya menghormati guru merupakan sebahagian dari seruan yang terkandung dalam ajaran Islam. Negara-negara Islam di Teluk, merangkumi Arab Saudi, Bahrain, Egypt, Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Libya, Morocco, Oman, Qatar, Tunisia, dan Yemen telah menetapkan 28 Februari sebagai tarikh sambutan Hari Guru yang dirayakan secara serentak di wilayah tersebut.
13. The International Conference on Education yang berlangsung di Panama dalam tahun 1943, telah memilih tarikh 11 September sebagai tarikh sambutan Hari Guru di Amerika Latin, mengambil peringatan akan tarikh kematian Domingo Faustino Samiento, seorang tokoh pendidik dan ahli politik Argentina. Republik Czechkoslovakia pula memilih 28 March sebgai Hari Guru mengambil sempena tarikh lahir Jean Amos Komensky. Komensky adalah seorang pemikir, ahli falsafah, penulis dan pendidik yang dirujuk sebgai Tokoh Guru Negara. Komensky yang dilahirkan dalam tahun 1592 telah mempelopori pemikiran bertoleransi dan menegaskan betapa pentingnya perdamaian dicapai melalui dialog secara berterusan di antara negara. Tiga abad
kemudian, pemikiran Komensky menjadi realiti, apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ditubuhkan pada 24 Oktober 1945.
14. Masyarakat Iran menyifatkan Guru sebagai profesion yang kudus dan mempunyai martabat tinggi dari sudut agama. 1 Mei dipilih sebagai Hari Guru tanda menghormati kematian syahid Ayatollah Morteza Motahhari pada tahun 1980. Ayatollah Morteza Motahhari adalah seorang penulis terkenal dan guru yang amat dihormati. Afghanistan telah sekian lama bergolak dengan diselubungi krisis kepimpinan dan konflik politik. Hanya 6% bajet negaranya diperuntukkan untuk program pelajaran. Guru-gurunya bukan sahaja bergaji rendah malah bayaran gaji sering tertangguh kerana negaranya sedang menghadapi kesulitan aliran tunai. Namun ia tidak melunturkan semangat guru-guru di Afghanistan; Hari Guru tetap disambut pada 23 Mei setiap tahun.
15. Iraq dalam sejarah, adalah tanah dan bumi yang dikembarkan dengan perkembangan ilmu. Di tanah ini lahirnya peradaban agung sejak enam milenium sebelum Masihi; di bumi ini terciptanya huruf dan tulisan. Baghdad adalah kota Metropolitan - kota ilmu pada zaman pertengahan dan di era kegemilangan Islam. Ilmu dan guru adalah elemen penting memakmurkan kota Baghdad, menjadi tempat berhijrahnya murid dari serata dunia. Salah urus dan salah tadbir telah memusnahkan segala-galanya. Persengketaan dalaman antara mazhab dan antara kaum, membawa kepada Perang Teluk yang kemudiannya membuka laluan kepada campur tangan kuasa besar telah membawa Iraq kepada kehancuran. Hari ini, Iraq kekurangan 3,500 sekolah, 2,751 sekolah berada dalam keadaan rosak, 2,400 sekolah kehilangan peralatan dan kelengkapan, 1,000 pusat yang dinamakan sekolah hanyalah berbentuk khemah ataupun dibina dengan tanah selut dan tanah liat. Meskipun demikian, ia tidak pula mematahkan semangat guru-guru untuk mengadakan sambutan Hari Guru pada 1 Mac setiap tahun. Malah sambutan Hari Guru itu turut diisi dengan program-program yang menyuarakan tuntutan supaya keadilan dapat dilaksanakan kepada warga bumi Iraq.
16. Profesion keguruan memiliki sejarah yang panjang dan laluan yang jauh hingga akhirnya sampai ke peringkat mendapat pengiktirafan badan antarabangsa. 5 Oktober 1966 adalah tarikh yang menandakan guru di seluruh dunia telah melakukan lompatan gergasi apabila Persidangan Antara Kerajaan menerima perakuan UNESCO/ILO berhubung status guru. Perakuan tersebut
memberikan guru di seluruh dunia instrumen akan definisi tanggung jawab dan hak. Pada 5 Oktober 1994, UNESCO turut melancarkan Hari Guru Sedunia.
17. Demikian laluan dan perjalanan, demikian pencapaian dan pengiktirafan, demikian kemajuan dan perkembangan yang telah dicapai oleh profesion keguruan. Satu profesion yang hebat, merupakan tenaga gergasi yang berjaya merentas sempadan politik – sempadan ideologi, sempadan agama - sempadan budaya. Demikian penyatuan satu kekudusan tujuan -demikian percantuman satu kemurnian hasrat, memenuhi visi - melaksanakan misi peradaban, dengan persamaan niat dan keselarian tujuan untuk mengilmukan umat manusia, khususnya kepada generasi muka supaya menjadi insan terpelajar lagi berilmu - agar menjadi insan-insan yang lebih berjaya.
18. Malaysia telah memilih 16 Mei sebagai Hari Guru. Pada tarikh tersebut dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran yang dikenali sebagai Laporan Razak untuk dijadikan Dasar Pelajaran bagi negara ini. Sambutan pertama Hari Guru bertemakan ‘Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara’ telah diadakan pada 16 Mei 1972.
19. Hari ini terdapat 380,031 guru yang berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia; 219,766 di sekolah rendah dan 166,265 di sekolah menengah. Angka tersebut merupakan 1.5% dari jumlah penduduk negara. Perangkaan semasa menunjukkan 3,112,901 murid kini berada di sekolah rendah sementara 2,304,023 murid berada di sekolah menengah; menjadikan jumlah murid yang berada di bilik darjah di seluruh negara seramai 5,416,924 orang, menghampiri 21 peratus dari jumlah penduduk negara. Ini bermakna, gabungan guru dan murid yang terdiri dari 22.5 peratus penduduk negara, berada dalam institusi yang dinamakan sekolah.
20. Jika sekolah itu laksana sebuah taman, maka ianya adalah taman pendidikan yang sedang disemai dengan 5.4 juta pepohon yang berusia di antara enam hingga sembilan belas tahun, dan diamanahkan penjagaan dan pertumbuhannya kepada 386,031 tenaga terlatih bergelar GURU. Setiap hari, 5.4 juta insan ini akan meninggalkan rumah atau asrama, menuju ke bilik-bilik darjah. Dari kalangan mereka, adalah bakal Perdana Menteri dan ahli jemaah menteri, bakal hakim dan peguam, bakal mufti dan imam, bakal doktor dan
jururawat, bakal jurutera dan juruteknik, bakal anggota polis dan anggota tentera, bakal olahragawan dan seniman, bakal guru dan profesor; dan dukacita dinyatakan ada juga nanti kerana tersalah contoh dan tersisir haluan, akan berakhir dalam tahanan dan menghuni sel-sel penjara.
21. Setiap hari juga lebih 380,000 guru turut menuju ke destinasi yang sama, memenuhi amanah untuk memastikan 5.4 juta pepohon ini akan dapat disubur dan dibesarkan. Ingatlah! pepohon muda ini sama sekali tidak harus terlalu dijadikan bahan uji dan bahan kaji kepada pelbagai eksperimen hingga akhirnya mereka menjadi mangsa dan terpaksa membayar dengan harga kegagalan yang tinggi. Bahawa pepohon yang terlalu kerap diubah-ubah dari tapak ke tapak, dicabut dari taman ke taman, dipindahkan dari ladang ke ladang, akhirnya akan rosak akarnya - lalu pertumbuhan pohon menjadi terbantut. Kearifan dan kebijaksanaan guru adalah penentu untuk memastikan pohon-pohon ini tumbuh subur, berdahan dan bercabang, rendang merimbun, berbunga segar dan berbuah lebat.
22. Mohandas K.Ghandi menyifatkan sebaik-baik kitab seorang murid adalah gurunya. Untuk itu kekuatan seseorang guru itu terletak kepada sifat dan wataknya dan bukan kepada kelulusan akademik yang dimilikinya atau kekananan jawatan yang disandang. Para guru dengan itu, hendaklah diberikan kepercayaan dan sokongan menggunakan budi bicaranya, kearifan dan kebijaksanaan mengikut kesesuaian taman pendidikan masing-masing. Formula yang terlalu umum dan terlalu ketat, dibimbangkan boleh membantutkan pertumbuhan pohon-pohon muda ini, di samping menghalang guru-guru memperkenalkan inovasi dan kreativiti yang lebih releven dan lebih sesuai aplikasinya di taman pendidikan masing-masing. Sedarilah! tidakkan bunga dapat berkembang, jika ditanam pada musim yang salah dan tidakkan pokok dapat berbuah, jika disemai di tapak yang gersang.
23. Kebelakangan ini negara sedang menyaksikan fenomena baru yang amat negatif dan sangat merosakkan. Perilaku kurang beradab dan kurang bersopan, tingkah dan perbuatan yang sangat asing dengan kehalusan budaya bangsa, dilakukan bukan dari kalangan orang yang kurang berpelajaran tetapi oleh kalangan yang memiliki kelayakan profesional dan kelulusan pengajian di peringkat tinggi. Bahawa aspek moral dan aspek disiplin adalah komponen penting ketika merangka resipi pendidikan bangsa. Penumpuan semata-mata terhadap pencapaian akademik hingga
mengorbankan elemen-elemen adab dan sopan, dibimbangkan akan menghasilkan insan-insan yang tandus berbudi pekerti. Kayu ukuran pencapaian institusi bagaikan semakin taksub kepada gred pencapaian pelajar dalam peperiksaan awam. Aspek budi bahasa, sopan santun, adab dan akhlak serta aspek penyemaian niali-nilai ikhlas, jujur dan amanah semakin sehari semakin kurang diberikan perhatian.
24. Akibatnya berlaku kesediaan melakukan apa sahaja untuk mencapai gred terbaik di dalam peperiksaan, baik oleh ibu bapa, murid dan termasuk sebilangan kecil guru-guru hingga ke peringkat menjejas integriti keilmuan dan melanggar rukun asas pendidikan. Kini, pada musim-musim peperiksaan, telah sering kali dilaporkan berlakunya insiden kertas soalan yang dibocorkan; kejadian yang Beta tidak pernah terfikir boleh berlaku ketika Beta masih seorang murid di Sekolah St. John Kuala Lumpur dan ketika Paduka Bonda Beta, Tuanku Bainun masih berkhidmat sebagai seorang guru.
25. Adakah dunia telah terlupa akan prinsip asas yang harus dibekalkan dan diperlengkap dalam usaha pembangunan insan; betapa pentingnya elemen disiplin untuk anak-anak dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk, antara amal makruf dan nahi mungkar, akan nilai dan kebenaran, akan kejujuran dan keikhlasan. Bagaimana nanti rupa bentuk pemimpin negara dan nakhoda institusi di masa hadapan, untuk melaksanakan amanah negara dan tanggung jawab institusi, jika sifat-sifat ikhlas dan jujur tidak lagi berada dalam darah daging mereka. Maka janganlah disesalkan di kemudian hari, bila semakin banyak kejadian pecah amanah, amalan rasuah dan perilaku salah guna kuasa yang mengakibatkan penderitaan kepada kehidupan warga dan kehancuran kepada sebuah negara bangsa.
26. Bahawa matlamat pendidikan itu tidak sekadar untuk menghasilkan robot industri hingga dunia seolah-olah dijadikan gedung pemprosesan data, berakhir dengan pembinaan masyarakat yang sangat mekanikal karakternya. Negara wajib merasa bimbang jika budaya pendidikan hari ini terlalu teknikal tumpuannya, sekadar berjaya menyiapkan individu yang berupaya mengendalikan teknologi tetapi menyisihkan tanggung jawab untuk memberi makna dan nilai kehidupan kepada insan-insan muda yang sedang berada di taman sekolah. Jika insan-insan muda ini gagal dibangunkan secara seimbang, masa hadapan dunia dan alam semesta akan turut menjadi tempang dan
berpotensi mengundang kepada berlaku lebih banyak kerosakkan dan bencana.
27. Pada masa yang sama, tidaklah adil untuk meletakkan sepenuh tanggung jawab membina generasi muka kepada masyarakat guru. Masa hadapan negara malah masa hadapan dunia sebenarnya ditentukan oleh dua institusi utama, pertama: rumah dan keluarga, kedua : sekolah dan guru. Minda dan roh anak-anak yang berada dalam usia formatif itu tersangat halus; satu permulaan salah yang berlaku di dalam keluarga, boleh merosakkan orientasi - berpotensi memesong hala tuju hidup mereka. Pemikiran dan perlakuan anak-anak amat dipengaruhi dari apa yang mereka lihat, dari apa yang mereka dengar dan dari apa yang mereka didedahkan di dalam keluarga. Pengaruh keluarga terhadap anak-anak diakui dalam budaya bangsa seperti tercermin melalui peribahasa ’kemana tumpahnya kuah, kalau tidak ke pinggan nasi’, “bapa borek, anaknya rintik”, ’bagaimana acuan begitulah kuihnya’. Pembinaan karakter generasi muka akan berakhir dengan ketidakseimbangan apabila sekolah semakin sehari semakin ditambah beratkan dengan tanggung jawab yang sepatutnya dilaksanakan di rumah. Bersadarkan semangat berat sama dipikul, ibu bapa wajib tampil ke hadapan membantu guru dalam tugas membentuk karakter. Institusi keluarga sama-sama bertanggung jawab untuk membantu usaha institusi sekolah supaya lebih berkesan dalam usaha menyemaikan roh keinsanan dan dalam usaha menyuburkan pepohon kemanusiaan.
28. Disiplin sama sekali tidak harus dikompromikan kerana ia akan memberi mesej yang salah kepada anak-anak. Ibu bapa wajib tampil ke hadapan, bersama guru mendisiplinkan anak-anak. Mereka sepatutnya menjadi kumpulan pertama membantu pihak berkuasa sekolah menghormati peraturan dan undang-undang. Ibu bapa wajib seia-sekata mengenakan disiplin ketat terhadap anak-anak. Jangan terlalu cepat memamah cerita anak-anak lalu melatah menyalahkan guru, hingga ada guru yang diugut dan ada guru yang diserang. Sebaliknya Ibu bapa wajib menjadi pendukung utama untuk mempertahankan maruah dan martabat guru begitu juga mempertahankan tradisi keunggulan dan keagungan sekolah.
29. Profesion guru sarat dengan cabaran, tanggung jawab dan beban kerja yang telah sekian lama dilaksanakan oleh insan-insan yang cekal lagi sabar, insan-insan yang telah melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan
integriti, insan-insan yang telah berjaya memberikan inspirasi dan motivasi kepada anak didik mereka. Para guru laksana bintang-bintang yang menyinarkan cahaya di langit malam, membantu menerangi alam, untuk menjadi panduan kepada umat manusia. Jasa guru amatlah besar, pengorbanan guru wajib dihargai. Semoga segala pengorbanan dan khidmat murni para guru, mendapat ganjaran dunia - ganjaran akhirat. Sewajarnyalah insan-insan ini diberikan pengiktirafan mulia oleh negara dan warga. Negara telah mengisytiharkan 16 Mei sebagai Hari Guru. Pengisytiharan tersebut hendaklah disusuli dengan pengisian acara yang memperlihatkan bahawa masyarakat guru itu benar-benar dihargai dan dapat memberikan mereka rasa bangga. Hari Guru hendaklah dianjurkan dengan aktiviti yang membuatkan guru-guru merasakan mereka dimuliakan oleh warga dan negara; hari yang mereka akan merasa gembira kerana dihargai. Apalah ertinya pengisytiharan tersebut, jika mereka sendiri yang terpaksa berpenat jerih, mengaturkan program dan pening kepala untuk mencari sumber pembiayaan. Guru-guru sewajarnya dijadikan tetamu istimewa hingga mereka benar-benar berasa istimewa pada hari tersebut dengan apresiasi yang dibuktikan melalui pelbagai usaha dan kegiatan yang dirintis oleh ibu bapa, dianjurkan oleh masyarakat, dikelolakan murid.
30. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan Perayaan Hari Guru Tahun 2010 Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan.
Wabillahi taufik, walhidayah.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment